Saturday, April 4, 2009

Islam Pelopor Dunia Penerbangan (Ibnu Firnas)

Ibnu Firnas Pelopor Dunia Penerbangan


SEJAK dulu lagi manusia berusaha untuk melepaskan diri daripada daya tarikan bumi dan terbang seperti burung menawan angkasa.

Berikutan itu, percubaan demi percubaan dibuat bagi membolehkan manusia terbang di udara sehingga terciptanya kapal terbang yang membawa kita ke merata tempat pada hari ini.

Percubaan manusia untuk terbang di udara bermula pada 852 Hijrah apabila seorang Arab bernama Armen Firman dari Cordoba, Sepanyol menghasilkan selimut berbentuk sayap.

Kemudian, pada 875 Hijrah, ilmuwan Islam Abu Al-Qasim Abbas bin Firnas bin Wirdas, seorang ahli falsafah dan pakar dalam bidang Matematik serta kimia cuba terbang dengan sayap yang dihasilkannya.

Beliau yang terkenal dengan gelaran Ibnu Firnas melakukan percubaan menutupi tubuhnya dengan buku yang dibuat seakan sayap dan dipasang di kedua lengan.

Kemudian beliau pergi ke tempat tinggi dan melompat terbang di udara, melayang seketika sebelum jatuh.

Ibnu Firnas mengalami kecederaan belakang yang teruk sehingga menghalang beliau melakukan percubaan terbang untuk kali kedua.

Sebagai pengiktirafan kepada kesungguhannya mencipta jentera bagi membolehkan manusia terbang, sebuah tugu memperingati Ibnu Firnas di bina di jalan menuju ke Lapangan Terbang Baghdad.

Malah, Philip Hitti, dalam bukunya bertajuk History of the Arabs menulis, Ibnu Firnas adalah ilmuwan pertama yang berusahauntuk menakluki angkasa dan mencipta cara terbang. Ketokohannya turut diabadikan pada setem Libya.

Percubaan Ibnu Firnas yang turut digelar manusia terbang, walaupun gagal tetapi berjaya membuka ruang kepada pencipta selepasnya untuk menghasilkan jentera yang membolehkan manusia terbang di ruang udara.

Kini, pengangkutan udara menjadi satu kemudahan penting untuk pengangkutan awam dan barangan. Tidak dinafikan, ia adalah hasil daripada pemikiran tokoh ilmuwan terdahulu.

Ibnu Firnas juga dikenali sebagai seorang ahli falsafah dan ilmuwan dalam bidang matematik, kimia, tabii, ilmu astronomi, pemuzik, sasterawan serta penyair agung.

Kejayaan menjadi orang pertama membuat kaca daripada pasir menerusi percubaan dalam bidang kimia turut menjulang nama Ibnu Firnas sebagai ilmuwan yang dikagumi.

Malah beliau juga berjaya menghasilkan miqatah iaitu jam untuk mengukur masa, selain membina sebuah kubah langit di rumahnya untuk mengkaji bintang, awan, petir dan kilat.